Dimulakan dengan

Dimulakan dengan

Tuesday, 6 October 2009

Terima Kasih Karim, Wallahu Akram!

Oleh: Ustaz Hasrizal (saifulislam.com)

malaysia-31342

Hujung serbanku selalu basah.

Sering menjadi tempat aku mengelap mata.

Tidak sedikit tangisan yang tumpah di sepanjang liku perjalananku mengenal erti dakwah.

Apalah yang budak hingusan ini tahu tentang perjuangan?

Namun dalam usia yang berputik jagung, kusambut satu azam yang Allah campakkan ke hulu hati, agar tidak berpaling lagi.

Jika setiap hari, kebanyakan teman sebayaku asyik melayan Rock kapak dan hidup ketawa, aku dan segelintir ghuraba’ di medan itu dilatih oleh para murabbi agar bertanya pada setiap perjalanan masa, “hari ini, apa yang sudah kubuat untuk Allah?”

Ungkapan yang lebih enak dalam bahasa khalifah terakhirku, “bugun, Allah’icin ne yaptin?”

REALITI DAKWAH

Benar sekali nasihat Luqman kepada anaknya tatkala buah hati pengarang jantung itu diperkenalkan kepada perintah dakwah.

31_17“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah seolat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang amat besar dan penting untuk dilakukan” [Luqman 31: 17]

Diejek, dipulau, dijadikan bahan ketawa, semua itu menjadi makanan harian di sepanjang hari-hari awal diriku mengenal erti dakwah. Kehidupan yang sedemikian rupa, menjadikan usia remajaku, tidak mudah untuk ditoleh sebagai kenangan yang menguntumkan senyuman. Biar pun diriku cemerlang dalam merangkul anugerah akademik saban tahun, tetapi graf kehidupanku tidak ubah seperti catatan mesin mengukur gempa bumi yang turun naik pada skala Richter.

Setiap kali graf itu mendatar, aku didatangi rasa bimbang dan gelisah.

Pasti ada sesuatu yang bakal datang menguji.

Allah tidak lama membiarkan diriku alpa dengan keamanan kerana mungkin Dia Maha Tahu bahawa aku adalah manusia yang hanya boleh dibentuk dengan musibah dan ujian, bukan kesenangan dan keselesaan. Justeru setiap tahun mastautinku sebagai thalib al-’ilm di sekolah, ada sahaja perkara besar yang menimpa sampai aku lali dengan segalanya.

UJIAN YANG MENYELAMATKAN

Selayaknya aku memuji Allah.

Rupa-rupanya segala kesusahan itulah yang menyelamatkan aku dari fitnah kehidupan di usia muda. Kesakitan menanggung dakwah menyebabkan aku hilang selera pada keseronokan yang digilai rakan-rakan seusia. Aku tidak mampu mengecap rasa manisnya kerana seluruh reseptor pada tubuh badanku hanya mengenal hidangan satu rasa. Bukan manis dan bukan masin. Hanya pahit, perisa kebenaran.

Aku berjaya menempuhnya.

Zaman persekolahan sudah lama berlalu.

Ia bersambung dengan perjalanan yang tidak pernah meredakan jatuh bangun kehidupan yang penuh liku. Aku juga yakin, beginilah sebenarnya jambatan untuk sampai ke Syurga. Dunia penjara Mukmin, jalan ke Syurga penuh ranjau yang menjanjikan damai di hujung perjalanan.

Namun Allah tahu sakit dan sihat iman hamba-Nya. Tidak sekali-kali dibiarkan hamba-Nya diuji hingga melepasi tahap keupayaan diri. Sesekali akan Allah datangkan sinar gembira, terutamanya pada melihat generasi-generasi yang menyusul di belakang berjaya menyertai mata rantai jalan ini.

Ketika fitnah Jahiliyyah semakin menggila, Allah suka memberi petunjuk kepada kita bahawa biar sehitam mana sekali pun pekatnya malam, sentiasa ada kunang-kunang dan pelita yang menyala tabah di sana sini. Semuanya demi menyedarkan kita, bahawa tiada malam kecuali datang selepasnya siang.

Di antara khabar gembira itu, ada yang datang segera, ada yang ditangguhkan-Nya ke masa yang lebih bermakna.

PERTEMUAN YANG TIDAK DIDUGA

“Assalamualaikum. Hoi, kau tak kenal akukah?” tanya seorang lelaki yang memegang lenganku di sebuah pasar raya.

“Waalaikum al-Salaam. Muka sangat familiar. Tapi ana tak berapa ingat di mana kita bertemu,” saya berterus terang sambil menjawab salamnya.

“Kau memang tak ingat aku sebab kau tentu berusaha keras nak lupakan aku. Aku Karim, senior kau kat Izzuddin dulu,” katanya penuh semangat.

Lucu juga. Seorang aku engkau, seorang ana anta.

Aku tersenyum mendengar ulasannya bahawa dia pasti terhapus daripada ingatanku dek pengalaman aku bersamanya semasa di sekolah dulu. Karim (bukan nama sebenar) adalah di antara senior yang amat membenciku. Sebab itu wajar bagi beliau untuk aku tidak mengingatinya.

Kami berbual sedikit tentang perkembangan masing-masing. Katanya, beliau teragak-agak mahu menegurku sebab aku sudah menjadi selebriti! Tetapi dia gagahkan diri menegur kerana ada hajat yang mahu ditunaikan.

“Aku sebenarnya ada dua benda yang aku nak cakap dengan kau. Satu nak minta maaf, satu nak ucap terima kasih!” ujar Karim kepadaku.

“Err, lain betul bunyinya tu. Apa bendanya?” aku bertanya.

“Aku nak minta maaf pasal kotak Yeo’s!” katanya kepadaku.

“Hahaha!” aku tidak dapat menahan ketawa.

Peristiwa itu sudah aku lupakan tetapi tidak bagi Karim.

KISAH LAMA

Semasa aku di Tingkatan 4, aku menjadi Presiden BADAR pertama yang dilantik daripada kalangan pelajar Tingkatan 4. Selalunya jawatan penting ini disandang oleh senior di kelas STA1 atau Tingkatan 6 Rendah.

Karim yang sudah sekian lama membenciku, mungkin kebencian jadi bertambah-tambah dengan perlantikan itu.

Suatu petang, semasa aku berjalan sendirian di koridor menuju ke bilik Ketua Pelajar bagi memasang kaset alunan nasyid tanda menjelangnya Maghrib, aku dikejutkan sesuatu. Sebuah kotak air minuman Yeo’s yang masih separuh berisi jatuh dari tingkat atas tepat mengena dahiku. Sebahagian daripada air tebu sintetik itu tumpah ke mukaku dan dahiku sakit terkena bucu kotak itu.

Aku menoleh ke atas dan ternampak Karim ketawa melihat hasil kerjanya yang menjadi itu.

Hujung serban kutarik untuk mengusap muka yang basah.

Aku tidak pernah menceritakan kejadian ini kepada sesiapa kerana ia terlalu simbolik. Biar pun sekotak air yang dicampak ke muka, terlalu ringan jika mahu dibandingkan dengan kesengsaraan generasi dakwah yang silam, ia tetap menjadi kenangan yang amat simbolik dalam liku-liku hidupku mengenal dakwah. Kotak Yeo’s itu menjadi simbol kebencian Karim kepadaku, yang tidak pernah menginginkan apa-apa kepadanya kecuali kebaikan dan keselamatan dunia dan Akhirat.

“Ana dah tak ingat cerita tu!” aku tersenyum dan tersentuh dengan permohonan maaf Karim.

“Kedua, aku nak ucap terima kasih!” kata Karim lagi.

“Terima kasih sebab apa?” aku kehairanan.

“Masa di sekolah, macam-macam orang buat kat engkau. Tapi kau buat bodoh je. Kau cakap, cakap, dan cakap. Sebenarnya, bila aku dah keluar sekolah, sambung kat U, dah kahwin, jadi laki orang, jadi bapak orang, barulah aku tersedar, nak jadi orang… haha!” Karim bercerita dengan tawa bercampur rasa.

“Bila aku tersedar dan nak berubah, semua yang kau pernah cakap masa di sekolah dulu, sedikit sebanyak itulah yang aku pakai. Lagi pun banyak yang kau tulis kat blog. Aku silent reader!” Karim menyudahkan ceritanya.

Kata-kata Karim amat tulus dan ikhlas.

Aku hilang kata-kata dan sebak menahan gelora dada.

PUJI DAN PUJA UNTUK-MU

Ya Allah, ampunkan aku!

Aku pernah hampir berputus asa. Pernah menyoal di manakah kesudahan usahaku dan rakan-rakan menyeru manusia kepada-Mu. Seandainya aku berputus asa dan berhenti dari menyampai, rugilah Karim, rugilah aku, dunia dan Akhirat.

Tatkala pertemuan aku dan Karim setahun dua yang lalu berlaku tanpa diduga, aku sering menjadikan kisah ini sebagai kata perangsang buat generasi adik-adik yang sedang menyambung mata rantai dakwah di kampus dan sekolah. Jangan berputus asa, jangan kecewa dan berasa lemah tidak berupaya.

Setiap kali kita bercakap seruan dakwah, cakap itu sebenarnya sampai.

Biar pun ia disambut dengan ejekan dan caci makian, ia sudah pun tembus ke telinga, mata, otak dan hatinya.

Dia mungkin meremehkannya di depan dirimu.

Namun akan sampai harinya, mutiara pemberianmu dikutipnya sebagai bekal menuju perubahan.

Berlapang dadalah kalian wahai adik-adik di medan dakwah.

Jalan itu memang begitu.

Tugasmu bukan memaksa perubahan, tetapi sebagai penyampai pesan.

88_21-22

“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu)” [al-Ghasyiah 88: 21-22]

Terima kasih Karim.

Wallaahu Akram!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

No comments: