Akal dan nafsu merupakan dua komponen utama yang menentukan perwatakan sesorang individu. Secara umumnya, akal dan nafsu saling bertentang di mana akal lebih cenderung ke arah kebaikan, manakala nafsu lebih berminat ke arah keburukan. Apabila seseorang itu menggunakan akal sepenuhnya, maka kuranglah dia mengikut nafsu, dan jika seseorang itu mengikut nafsu sepenuhnya, maka kuranglah dia menggunakan akal. Dengan kata lain, jika orang itu menggunakan akal, akalnya akan mengawal nafsu, sebaliknya jika orang itu menurut nafsu, nafsunya merajai akal.
Orang yang mendahulukan akal daripada nafsu, maka baiklah perwatakannya, sebaliknya jika nafsu yang mendahului akal, buruklah padahnya. Sebab itu ada pepatah Melayu mengatakan "Ikut rasa (nafsu), badan binasa".
Umpama jika seseorang pemandu itu menggunakan akal, maka dia akan memandu dengan berhemah dan mengikut peraturan jalanraya serta memikirkan baik-buruk dalam cara pemanduannya. Tetapi jika pemandu itu jenis yang mengikut nafsu, maka pemanduannya akan membawa kecelakaan kepada dirinya mahupun orang lain kerana dia tidak menggunakan akal dalam membuat pertimbangan yang benar. Kalau dia bernafsu untuk memandu laju, dia akan memecut kenderaannya tanpa memikir buruk-baik perbuatannya itu.
Terdapat 3 golongan manusia berdasarkan sejauh mana dia menggunakan akal atau mengikut nafsunya.
1) Golongan yang nafsunya menguasai akal.
2) Golongan yang nafsu dan akal saling menguasai.
3) Golongan yang akal menguasai nafsu.
Golongan yang paling ideal adalah golongan ketiga yang mana dia berupaya memastikan nafsunya menurut perintah akal. Bila seseorang itu berada di dalam golongan ini, maka dia berupaya membuat pertimbangan yang wajar tanpa dipengaruhi nafsu. Sebab itu mudahlah dia melihat segala tanda-tanda kebenaran tanpa ragu-ragu dan bersangka-sangka.
Lagi kuat akal seseorang itu menguasai nafsu, lagi kuatlah imannya pada kebenaran.
Sebab itu di dalam bulan Ramadhan ini, salah satu kelebihan kita berpuasa adalah untuk mengajar kita mengawal nafsu. Apabila terkawalnya nafsu, maka mudahlah akal untuk bergerak dan berfikir. Maka senanglah seseorang itu membuat pertimbangan dan penilaian yang benar. Mungkin juga di antara hikmah Allah menurunkan Al-Quran di bulan Ramadhan ini, kerana ketika ini nafsu orang yang berpuasa itu terkawal, maka akal pun mudah menerima segala ajaran Al-Quran tanpa ragu-ragu lagi. Jadi adalah digalakkan kita sebagai umat Islam untuk mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini untuk berfikir dan merenung tanda-tanda Kekuasaan Allah agar terbuka minda kita kepada ilmu-ilmu yang membawa iman kita menjadi lebih mantap. InsyaAllah.
Al-Quran adalah kitab untuk orang-orang yang berakal. Jika kita melihat pengajaran ayat-ayatnya, penuh dengan mengajak kita menggunakan akal. Sebab itu generasi awal ketika Al-Quran diturunkan (zaman nabi Muhammad dan para sahabat), mereka terdiri dikalangan ahli-ahli fikir. Generasi pemikir awal ini, lebih kepada berfikir untuk memantapkan akidah dan iman. Ketika di zaman itu, terkenal dengan syair-syair kosong dan melalaikan. Tetapi bila Nabi Muhammad menyampaikan Al-Quran yang lebih indah dan bernilai dari syair-syair biasa, maka ramai orang-orang yang berakal ketika tu tertarik, kerana mereka merasakan pengajaran-pengajar an yang berharga di dalamnya. Mereka menilai berdasar bukti-bukti yang ada di sekeliling alam semesta. Bila mereka menilai adanya bukti-bukti yang nyata terhadap ayat-ayat Allah yang Nabi Muhammad sampaikan, maka yakin dan berimanlah mereka.
Tanda-tanda yang menunjukkan generasi awal Al-Quran adalah ahli-ahli fikir adalah dengan melihat bagaimana Saidina Abu Bakar begitu membenarkan ajaran Nabi Muhammad (ayat-ayat Al-Quran) sehingga beliau mendapat gelaran "As Siddiq". Adakah beliau membenarkan Nabi kerana mengikut nafsu semata-mata? Sudah pastinya tidak, sebab ajaran Nabi bukannya ajaran yang sesuai dengan nafsu. Kalau ajaran Nabi sesuai dengan nafsu, berebut-rebutlah pembesar-pembesar Quraisy menyokong baginda. Oleh kerana ajaran Nabi adalah ajaran yang bertentangan dengan nafsu, sudah pastinya orang yang membenarkan ajaran ini adalah orang-orang yang berakal lagi berfikir kerana seperti yang ada disebutkan sebelum ini akal sentiasa bertentangan dengan nafsu.
Ajaran asas Al-Quran ketika awal-awal diturunkan dulu adalah tentang Ketauhidan Allah. Oleh kerana ajaran asas ini sudah betul dengan adanya bukti-bukti yang nyata yang menunjukkan Allah itu Satu dan tiada yang menyamaiNya, maka yakinlah para sahabat kepada seluruh ajaran Al-Quran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.
Seperti juga jika seorang guru matematik mengajar asas kiraan matematik 1+1=2, dan ada bukti dan tanda-tanda seperti apabila 1 ketul batu ditambah dengan 1 ketul batu lagi, kita mendapat 2 ketul batu, bukan 3, 4 atau seterusnya, maka yakinlah kita guru matematik itu seorang yang benar. Jadi bila dia mengajar ilmu matematik peringkat seterusnya, tidaklah kita meraguinya lagi.
Tetapi bila seorang guru yang mengakui dia guru matematik, dan mengajar 1+1+1=1 atau menyamakan 3=1, sedangkan tiada bukti-bukti di alam semesta ini menunjukkan ajaran itu benar, adakah kita yakin dengan guru itu? Kalau ajaran asas matematik ini pun sudah songsang dan terselewengan dengan hukum akal dan fitrah duniawi, bagaimana kita hendak percaya dengan ajaran yang lain?
Sebab itu dikatakan tidaklah yang memperdebatkan ayat-ayat Al-Quran itu melainkan orang-orang kafir, dan orang kafir ini pula disamakan sebagai binatang ternak kerana sikap mereka tidak mempergunakan akal. Dengan kata lain, yang bersangka-sangka dan membantah ayat-ayat Al-Quran yang telah ada bukti dan tanda-tanda yang membenarkannya adalah hanya orang-orang yang tidak berakal.
Seperti kes matematik tadi, ada tak sesiapa yang yang memperdebatkan hukum 1+1=2? Kalau ada, sudah pastinya orang itu orang yang tidak berakal. Membantah hukum matematik itu dengan nafsu semata-mata tanpa membawa bukti yang nyata.
Antara contoh lain yang menunjukkan para sahabat Nabi merupakan generasi pemikir adalah dari kisah kebijaksanaan Saidina Ali. Nabi Muhammad diriwayatkan ada bertanya kepada para sahabat bagaimana hendak khatam (habis membaca seluruh) Al-Quran dalam satu malam. Para sahabat semuanya diam kerana merasakan adalah mustahil membaca 6000 ayat itu dalam masa satu malam. Kemudian Saidina Ali yang ketika itu masih remaja belasan tahun lagi menjawab, iaitu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali. Sebab apa? Kerana Baginda pernah menyebut yang maksudnya membaca surah Al-Ikhlas itu seperti membaca 1 per 3 Al-Quran. Jadi bila kita baca 3 kali, samalah seperti membaca seluruh Al-Quran. Maksud tersirat dari kisah ini bukan sekadar menggalakkan kita membaca surah Al-Ikhlas 3 kali sebelum tidur, tetapi menggalakkan kita menjadi umat yang berfikir, bagaimana generasi Islam terdahulu muda-muda lagi sudah bijak berfikir.
Kemudian muncul pula generasi pemikir yang seterusnya yang membawa kepada zaman kegemilangan Islam. Lahirnya pemikir-pemikir pada cabang ilmu-ilmu lain seperti matematik, sains, perubatan & lain-lain. Muncullah nama seperti Ar-Razzi, Ibn Sina, Ibn Battutah. Pada ketika itu ilmu tauhid mereka sudah kuat, maka mereka pergi kepada cabang-cabang ilmu lain tetapi dengan maksud membenarkan ilmu asas itu Al-Quran itu.
Di sini kita nampak bahawa kunci utama kejayaan sesuatu umat adalah dengan menyuburkan budaya berfikir. Ini yang ditiru oleh Barat selepas Zaman Gelap, apabila mereka memecah kongkongan gereja ketika itu yang tidak menggalakkan penganutnya berfikir. Dan kini kita sudah nampak hasilnya apabila Barat yang menguasai segala ilmu-ilmu moden. Tetapi malang sekali, walaupun untuk hal-hal duniawi, akal mereka cerdas, tetapi untuk hal-hal rohani, akal mereka masih terkongkong oleh nafsu. Ini berbeza dengan cendikiawan Islam dahulu yang akal mereka cerdas dalam hal agama mahupun hal kehidupan dunia. Itulah yang dimaksudkan dengan keseimbangan dunia dan akhirat.
Kesimpulannya, akal memainkan peranan penting dalam hidup kita dan bukan sahaja kepada perwatakan individu malah turut mencorakkan tamadun sesuatu umat. Kerana itu akal diletakkan di dalam otak yang kedudukan lebih tinggi dari hati (tempat nafsu), bagi menunjukkan martabat akal ini tinggi dalam fitrah hidup manusia.
Bagi umat Islam, selagi kita tidak keluar dari kongkongan pemikiran dan menurut nafsu terhadap apa yang disogok oleh musuh-museh islam, maka umat Islam terus terlena. Bila terlena, mudahlah diperkotak-katikkan oleh musuh Islam. Jadi kita perlu mengubah sistem didikan kita ke arah budaya berfikir seperti Barat, tetapi bukan sahaja berfikir hal-hal dunia malah dalam hal-hal agama. Kita kena mengajar anak-anak kita berfikir tentang asas Al-Quran itu ajaran Tauhid. Kalau anak-anak kecil (baligh) ini mampu berfikir tentang KeEsaan Allah yang sebenarnya dengan menilai dan melihat bukti-bukti yang nyata disekeliling kita, maka insyaAllah mereka terselamat dari bahaya murtad. Orang yang senantiasa berfikir tentang kebenaran KeEsaan Allah, dia tidak bernafsu lagi untuk menyekutukan Allah dengan sesuatu. Seperti orang berfikir 1+1=2 itu benar dengan adanya tanda-tanda yang membenarkan, dia tidak bernafsu untuk bersangka-sangka yang 1+1 tidakmustahil jadi 3,4 dan seterusnya.
Dimulakan dengan
Tuesday, 2 September 2008
AnTaRa AkAL dAn NaFsU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment