“Itu pokok apa?” saya bertanya.
“Tak tahu,” jawab anak-anak.
“Itulah pokok durian,” saya menerangkan.
Mereka mengangguk-angguk. Sambil itu separuh badan masih seronok berendam di dalam sungai.
“Itu pokok apa?” saya bertanya lagi.
“Tak tahu,” jawab anak-anak lagi.
“Itulah pokok cili,” saya memberitahu.
“Pedas!” kata Naurah.
Pokok cili di sebelah pokok durian… menarik.
Walaupun pokok cili tumbuh di sebelah pokok durian, dan kedua-duanya menyedut zat galian daripada tanah yang sama, satu pokok buahnya pedas, satu pokok lagi buahnya lemak manis. Malah tidak pula durian menjadi pedas kerana duduk sebelah pokok cili. Kalau tidak, mudah juga nak buat sambal tempoyak!
Itulah kebesaran Allah.
Kalau lima orang chef diberikan sepuluh bahan yang sama dan masing-masing diminta mencipta resepi masakan, pasti sahaja rasa masakan itu tidak banyak bezanya. Tidak mungkin seorang menghasilkan gulai lemak pisang manakala seorang lagi membakar kek pisang.
Tetapi tidak dengan hasil kerja Allah Subhanahu wa Taala.
Lima batang pokok tumbuh di atas tanah yang sama. Pokok cili menghasilkan buah yang pedas, pokok durian menghasilkan buah yang lemak manis, manakala buluh menghasilkan batang yang miang, jering mengeluarkan buah yang kelat dan pokok kelapa menghasilkan buah yang luar biasa kegunaannya.
“Allah hebat, kan?” saya menyudahkan ngomelan di pagi itu.
Anak-anak mengangguk. Entahkan faham entahkan tidak. Tetapi saya perlu memulakannya.
Mendidik anak berfikir.
ALAM DAN MANUSIA
Manusia perlu mengenal Tuhan. Mereka ada dua jalan untuk mencari dengan mengenal Tuhan. Jalan pertama adalah dengan FIKIR pada ayat-ayat Allah yang direnung dan diperhati (mandhoorah). Pada alam. Jalan kedua adalah dengan ZIKIR pada ayat-ayat Allah yang dibaca (maqroo’ah). Pada wahyu, pada al-Quran.
Zikir itu adalah jalan yang tinggi pada mendampingi Allah. Tetapi zikir sukar membawa khasiatnya jika manusia berzikir tanpa berfikir.
Mereka berzikir mengingati Allah tetapi kerana zikir tidak disulam fikir, manusia yang selalu menyebut nama Allah ini jualah yang tanpa sedar menjauhkan diri dari Allah semasa dirinya keluar dari majlis zikir menuju urusan mentadbir alam dan manusia. Mereka memuji Allah semasa berdamping dengan ayat-ayat Allah yang maqroo’ah tetapi mereka jugalah yang tanpa rasa bersalah merosakkan ayat-ayat Allah yang mandhoorah melalui pencemaran alam hasil kerja tangan mereka. Mulut berzikir, tetapi tangan menjadi tangan ahli fasad yang merosakkan bumi.
Sebab itulah manusia mesti dibalikkan kepada khusyu’ dalam berfikir, di samping khusyu’ dalam berzikir. Fikir manusia itu akan mendorong dirinya untuk memahami alam dan seterusnya mencari rahsia kehidupan. Dikajinya laut yang berombak, bertemu dengan angin. Dikajinya angin yang bertiup, ditemuinya tekanan udara panas dan sejuk. Dikajinya tekanan udara, ditemuinya tenaga haba. Dikajinya tenaga haba, ditemuinya matahari. Dikajinya matahari, ditemuinya gas-gas yang membentuk matahari itu. Dikajinya gas-gas berkenaan… akhirnya tiba ke suatu titik yang tiada jawapan.
Di situlah hujung akal.
Hujung akal, pangkal agama!
Itu pesanan masyhur Buya HAMKA pada mendidik umat Islam menjadi manusia yang rajin berfikir. Kerana fikir kita jadi manusia. Kerana fikir yang menyampaikan kepada zikir, kita menjadi manusia yang Muslim.
MEMUSUHI FIKIRAN
Tetapi tatkala manusia bermusuh dengan fikir, binasalah diri, binasalah umat. Agama juga runtuh apabila zikir dipisahkan daripada fikir. Tanpa fikir, apa bezanya di antara agama Islam dengan Hindu?
“Tuhan saya minum susu. Itu kepercayaan saya dan apa awak nak kata?” tegas seorang yang berpegang dengan agamanya yang demikian itu.
Benarlah Islam, dan batillah yang selain daripada Islam kerana kebenaran itu dibuktikan dengan fikir.
Masih ingatkah kita kepada kehidupan manusia di benua gelap bernama Eropah? Selepas kejatuhan Empayar Greco Roman, manusia didominasi oleh kuasa istana dan gereja yang bersekongkol. Ketika itu manusia didoktrinkan bahawa berfikir, keinginan untuk tahu dan menyoal adalah dosa. Kombinasi di antara fikir, keinginan untuk tahu dan bertanda tanya itulah yang mendorong Adam menjamah buah larangan lalu terjebak ke dalam original sin.
Lalu massa dibunuh pemikiran mereka. Haram bertanya soalan.
Dan apabila manusia berhenti berfikir, jadilah mereka haiwan yang dicucuk hidung ditarik tali. Itulah zaman gelap Eropah.
Bagaimanakah segala kezaliman gereja ketika itu runtuh?
Taqlid buta dan perhambaan diri kepada institusi agama dan raja musnah, apabila manusia mula berfikir. Apabila manusia mula menghayati slogan Rene Descarte (1596 - 1650) yang menyebut, “Cogito ergo su” atau “saya berfikir lalu saya wujud diri!“. Berfikir dalam agama itu jugalah yang mendorong bantahan penganut agama Kristian hingga muncul gerakan Martin Luther (1483 - 1546) yang kemudiannya digelar sebagai Protestantism. Ia adalah cubaan untuk mengembalikan maruah akal dalam beragama!
ANTARA KITA DAN BARAT
Berfikir itulah yang mengeluarkan Barat dari kegelapan hidup kepada kemodenan.
Malah di celah-celah kerosakan dunia moden yang berpunca dari fikir yang sudah bergelumang dengan nafsu, Barat itu datang kepada Islam, juga dengan fikir.
Teringat saya kepada dialog bersama sekumpulan pelawat Irish yang datang ke Belfast Islamic Centre semasa saya bertugas di sana dulu.
“Apa yang membawa anda datang ke masjid ini?” saya bertanya.
“Saban hari media memburukkan Islam dan Muslim hingga intelektualiti kami rasa terhina. Seolah-olah kami manusia yang bodoh. Kami ada pendidikan. Ada fikiran. Kami boleh membuat keputusan sendiri. Setelah bertemu dengan alamat masjid di dalam direktori, kami datang ke tempat tuan!” jawab jurucakap kepada rombongan itu.
Ya, tidak keterlaluan saya katakan bahawa FIKIR itulah yang membawa Barat datang kepada Islam. Dua orang sebulan yang memeluk Islam di masjid saya, mereka bertemu dengan Islam kerana berfikir. Manakala orang Timur pula berbondong-bondong meninggalkan Islam kerana mereka tidak berfikir. Lumrah hidup pada makan, minum, kerja, rehat dan kahwin… hingga sedikit cuitan pada minda, sudah cukup untuk memurtadkan bangsa yang Muslim ini.
Sebab itulah orang yang memeluk Islam di Barat adalah orang yang berpendidikan, belajar, mengkaji dan seterusnya mereka menjadi mutiara untuk Islam dan masa depan ummah. Manakala orang kita yang murtad, mereka murtad kerana lumpuh upaya berfikir dan merasionalkan kepercayaan.
SALAH SIAPA?
Tolaklah ke tepi seketika teori-teori konspirasi berkenaan perancangan Zionis atau propaganda misionari Kristian serta kejahatan media yang selalu ditunding jari.
Lihatlah apa yang kita sebagai ibu bapa buat di rumah. Lihatlah apa yang kita sebagai orang agama buat kepada ummah?
Di rumah, kita sebagai ibu bapalah yang membunuh upaya fikir anak.
“Ayah, kenapa kita tak boleh duduk atas bantal?” tanya si anak.
“Tak boleh. Nanti bisul!” kata si ayah dengan penuh bijaksana.
Anak terpinga-pinga.
“Ayah, kenapa kita tak boleh meniarap sambil angkat kaki?” tanya si anak lagi.
“Tak boleh. Nanti emak mati!” tegas si ayah dengan bahasa yakin.
Anak kebingungan.
“Ayah, kenapa pensel tak boleh diasah atas dan bawah?” soal anak seterusnya.
“Arghh, diamlah kamu. Orang tua nak bercakap pun susah!” bentak si ayah yang rasa terganggu dengan soalan-soalan si anak.
Akhirnya anak-anak yang sering kena shut up ini menjadi bantut. Mereka bukan sahaja tidak berani menyuarakan pendapat atau tampil ke khalayak ramai kerana keyakinan diri yang rendah, malah lumpuh fikir itu menyebabkan generasi ini tidak tahu menilai kebenaran. Akhirnya mereka menjadi bodoh dan dengan kebodohan itulah mereka memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan seterusnya murtad dari agama.
Percayakah kita, apa yang diajar oleh ibu bapa orang Barat itu tanpa sedar membekalkan anak-anak mereka untuk bertemu dengan Islam, dan apa yang diajar oleh ibu bapa orang kita ini tanpa sedar menyediakan anak untuk hilang alat untuk beragama dan seterusnya lari meninggalkan Islam.
Itulah jenayah besar kita, dosa tidak berfikir.
BERAGAMA TANPA FIKIR
Bukan sahaja ibu bapa, malah orang agama juga suka benar mengulang-ulang slogan bahawa, “agama tidak dibina di atas akal”. Didoktrinkan bahawa “agama bukan pemikiran”. Memang benar, jika pemikiran yang dimaksudkan itu ialah pemikiran ekstrim seperti Muktazilah. Tetapi membunuh fikir dalam beragama, jadilah Usul al-Fiqh sebagai hafalan. Jadilah Islam agama yang kaku dalam penafsiran hingga ditertawakan kehidupan moden yang gagal ditanganinya.
Ada kekeliruan yang berlaku apabila ada segelintir pendakwah yang mahu membasmi taqlid, tetapi dalam masa yang sama menghalang manusia berfikir dalam saranan-saranannya. Taqlid dibasmi tanpa galakan berfikir, akan hanya melahirkan taqlid yang seterusnya.
Itu komentar umum yang dibuat ke atas seruan Muhammad bin Abdul Wahhab. Usahanya untuk membasmi taqlid dan ketaksuban manusia, tidak disertai dengan seruan menggalakkan manusia berfikir. Justeru ia berulang kali mencetuskan taqlid yang baru, biar pun tanpa nama dan mazhab.
KESAN KE ATAS ALAM
“Pemanasan global? Arghh… itu politik. Bukan sains. Karut sahaja,” bentak seorang Muslim.
“Anta ni bila nak berdakwah? Asyik dengan masalah alam sekitar sahaja. Upgrade-lah cepat perjuangan anta!” sinikal benar bunyi sindiran seorang da’ie kepada rakan aktivis NGOnya.
“Pencemaran cahaya? Hahaha…. keras perut aku menahan ketawa. Kalau pencemaran udara ok lagi. Ini pencemaran cahaya. Mengada-ngada sungguh,” kata seorang rakan yang kuat bau Islam pada pakaian dan istilah-istilah Arab di mulutnya.
Begitu sinis bunyi komentar manusia sebegini tatkala diajak berfikir tentang kemusnahan alam. Mereka mungkin kaum yang betah berzikir, tetapi memisahkannya dari fikir. Jika mereka kaum yang berfikir, bagaimanakah mereka mahu mengamalkan Surah Aal ‘Imraan ayat 191?
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka” [Aal 'Imraan 3: 190-191]
Kebesaran Allah di langit yang tidak mempamerkan bulan atau bintang? Hanya simbahan cahaya diselaputi jerebu? Belum pernah saya mendengar kaum Muslimin susah hati dengan pencemaran cahaya yang menghijab mereka dari memikirkan tentang kebesaran Allah. Akhirnya bandar tanpa Muslim bernama Kilkenny di Republic of Ireland yang bersungguh-sungguh menjaga pancaran cahaya dengan alasan pelepasan sinar berlebihan ke udara meragut hak manusia menikmati angkasa!
Sesungguhnya manusia yang gemar berfikir tentang alam untuk membaca ayat-ayat Tuhan, tidak akan membiarkan alam ini rosak dan tercemar. Jika al-Quran dijaga dengan meletakkannya di atas almari, begitu jugalah alam ini dipelihara kerana ia adalah AYAT-AYAT ALLAH… bagi kaum yang berfikir.
Besar sekali kesan manusia yang enggan berfikir.
Muhammad Abduh pernah mengeluh, “aku ke Paris dan aku bertemu dengan Islam tanpa Muslim, aku ke Kaherah dan akan bertemu dengan Muslim tanpa Islam”.
Mungkin Islam yang ditemui oleh Muhammad Abduh itu adalah nilai-nilai yang terbit hasil berfikirnya manusia di sana tentang apa yang baik dan apa yang buruk. Hanya kerana fikirnya tidak sampai kepada zikir, mereka tidak menjadi Muslim.
Manakala Muslim tanpa Islam yang berkeliaran di Kaherah itu, adalah Muslim yang tidak berfikir, walaupun ada zikirnya sekali sekala.
MULAKAN DARI RUMAH
“Kenapa Abi tak bagi Yop pergi beli makanan di tepi padang sekolah itu?” saya bertanya kepada Saiful Islam.
“Kenapa?” dia bertanya balik kepada saya.
“Makanan itu dijual orang luar. Sekolah tidak kenal mereka. Kalau makanan itu kotor, Yop sakit perut masuk hospital, macam mana?” saya berusaha untuk menjelaskan.
Itu lebih baik daripada menakut-nakutkan anak bahawa di pokok besar tepi padang sekolah itu ada hantu ‘kopek’ yang menculik kanak-kanak.
Di usia muda, didiklah anak-anak dengan budaya bersoal jawab. Setiap kali mereka bertanya, jangan diherdik pertanyaan itu, dan jawablah dengan jawapan yang merangsang anak-anak berfikir. Kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak berfikir, bakal menyebabkan anak-anak ini masuk ke era masa depan yang dicabar pemikiran, sedangkan mereka hanya punya sebuah kepala yang berisi otak, kepala dan otak itu tidak bernyawa dilumpuhkan oleh ibu bapa mereka sendiri.
“Tidakkah kamu berakal untuk memikirkannya?” [al-Baqarah 2: 76]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang
ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Saifulislam.Com mengalu-alukan sumbangan anda untuk menampung perjalanan server. Klik di sini untuk menyumbang. Terima kasih... [Abu Saif]