Dimulakan dengan

Dimulakan dengan

Wednesday, 2 April 2008

Bahasa, Bahasa dan Bahasa

salam...
Bahasa jiwa bangsa... Kalau antum mengambil berat perihal bangsa yang kian lupa-lupa terhantuk kepala, silalah baca dengan penuh rasa takzim. Terima kasih.

Dunia Weblog Cemarkan Bahasa dan Sastera
Oleh Nimoiz T.Y

SEPERTI kata Mohd. Dahrie Zakaria dalam rencananya Mendekati Sastera Siber (Tunas Cipta, Julai 2006), weblog agak popular di kalangan anak-anak muda sekarang dan tidak terhad kepada sasterawan semata-mata. Sebaliknya, medium ini turut didominasi pelbagai lapisan masyarakat; daripada politikus, pentadbir, budayawan, artis lakon dan sebagainya. Bagaimanapun, sebagai salah seorang pengamal sastera siber, saya agak resah dah risau dengan perkembangan weblog sekarang ini. Macam-macam berlaku di dunia weblog tanpa ada pemantauan daripada pihak-pihak berkenaan.

Weblog telah dijadikan medan untuk melampiaskan ketidaksenonohan dalam berbahasa. Soal kebahasaan tidak dititikberatkan. Kalau di media massa yang lain, satu perkataan yang tidak betul menjadi perdebatan hangat di kalangan induk masyarakat, pencinta bahasa Melayu, ahli linguistik, sasterawan malah sampai ke peringkat parlimen. Namun, beribu-ribu penyalahgunaan bahasa di weblog tidak mendapat perhatian mana-mana pihak. Impaknya, penulis-penulis weblog yang ‘tidak sedar diri’ ini terus sahaja bermaharajalela di dunia siber.

Mudah

Media massa dalam konteks persuratan dan visual lebih mencakupi Malaysia sahaja, sedangkan weblog boleh dicapai di seluruh dunia. Sememangnya, sastera siber mempunyai masa depan yang cerah di Malaysia. Tidak ramai yang memiliki laman web persendirian kerana pemilik laman web persendirian perlu membayar sejumlah wang kepada pembekal server. Justeru, weblog merupakan medium terbaik memandangkan sifatnya yang mesra pengguna. Siapa-siapa sahaja boleh memiliki weblog persendirian termasuklah kanak-kanak yang masih di bangku sekolah rendah. Di weblog, seseorang itu boleh berinteraksi, bertukar-tukar fikiran dan melontarkan buah fikiran masing-masing. Tulislah apa-apa sahaja mencakupi bab politik, ekonomi, sosial, agama, sastera, budaya, sukan dan sebagainya.
Mudah sahaja. Yang penting sesorang itu mestilah tahu serba sedikit tentang komputer. Mesti tahu serba sedikit tentang dunia internet. Kalau tidak tahu, boleh sahaja belajar secara sendirian, belajar daripada ahli keluarga yang celik komputer atau memilih untuk belajar di pusat-pusat komputer. Paling utama, mereka perlu ada minat dan kesungguhan. Pertama sekali, mereka yang ingin memiliki weblog perlulah memilih mana-mana kerangka weblog yang digemari. Sekarang ini, terdapat banyak kerangka weblog di internet yang boleh dimiliki secara percuma. Antara yang agak popular ialah blogspot (http://domainpemilik.blogspot.com), blogdrive (http://domainpemilik.blogdrive.com) dan multiply (www.domainpemilik.multiply.com) – (sekadar menyebut beberapa weblog).
Seterusnya, mereka perlulah melengkapkan beberapa ruangan seperti username, password dan sebagainya. Selepas itu mereka bolehkan memilih rekaletak, warna latar dan sebagainya. Kalau ada yang lebih inovatif, mereka boleh menjadikan weblog mereka lebih interaktif dan dinamik sifatnya dengan meletakkan animasi, grafik, lagu, video dan sebagainya menggunakan kod html. Kalau tidak berapa faham kod-kod html, mereka boleh sahaja menyalin kod ini daripada bar view dan klik pada source di weblog orang lain seterusnya mengikut arahan salin dan tampal. Dalam beberapa minit sahaja, seseorang itu kini telah memiliki weblog persendirian. Sesiapa sahaja boleh mencapainya di segenap pelosok dunia sejurus selepas itu. Untuk masa-masa akan datang, mereka hanya perlu mengemaskini bahagian entri weblog sahaja.

Pencemaran

Banyak kesalahan tatabahasa dilakukan oleh penulis entri weblog. Antaranya kesalahan yang tidak disengajakan seperti kata bilangan, kata sendi, kata kerja transitif, kata kerja tak transitif, kata ganda berimbuhan, kata ganda seluruh, kata hubung, frasa sendi, frasa adjektif dan sebagainya. Mungkin kesalahan ini dapat dimaafkan kerana tidak semua penulis weblog fasih bab-bab tatabahasa. Yang menjadi masalahnya, ramai penulis weblog menulis kesalahan yang terlalu besar secara sengaja. Bagi saya, kesalahan ini tidak dapat dimaafkan sehingga mereka membetukannya kembali.
Antaranya ialah mencampur aduk perkataan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris (lalu terhasillah apa yang dinamakan bahasa rojak). Menulis ayat yang bercelaru, ringkasan perkataan persis menulis mesej pesanan ringkas (sms), dan kerancuan dalam berbahasa yang ketara. Sebenarnya penulis weblog sedar akan kesalahan ini. Namun mereka meneruskan juga kerana sifat tidak bertanggungjawab. Pengabaian ini mencemarkan bahasa Melayu. Penulis weblog sepatutnya mengambil pertimbangan sentimen bahasa Melayu kerana martabat bahasa Melayu terletak di tangan kita sendiri.
Di kalangan penulis sastera, mereka juga menjadikan ruangan entri ini untuk mengasah bakat sastera. Bagus. Ini merupakan langkah yang wajar sebagai satu nilai tambah (value added) berbanding mereka yang buta internet. Mereka bertindak sebagai penulis, dan mereka jugalah yang bertindak sebagai editor. Bagaimanapun, apa yang menyedihkan, akibat tidak ambil kisah dengan nilai-nilai sastera, mereka mempermainkan sastera. Lebih daripada itu, mereka menjadikan sastera sebagai medan melampisakan rasa ketidakpuasan hati kepada mana-mana pihak tanpa mengambil kira sentimen pihak lain. Sepatutnya, mereka kembali kepada akar sastera itu sendiri yang bersifat halus dengan tidak mengabaikan nilai-nilai seni. Kalau begini keadaannya, sastera Melayu akan hancur.
Seseorang pengunjung weblog boleh membaca kembali entri lama kerana weblog menyediakan ruangan pautan entri terdahulu. Atau dalam ungkapan yang lebih dominan dipanggil arkib. Arkib ini tidak akan hilang melainkan pemilik weblog itu sendiri yang membuangnya. Lalu, arkib ini akan terus menjadi monumen sejarah yang sentiasa boleh ditatap. Dan monumen kesalahan ini akan kekal abadi menjadi kesalahan tanpa ada seorang pun yang membetulkannya.

Faktor

Terdapat banyak faktor yang memungkinkan mengapa seseorang penulis weblog itu tidak mementingkan aspek tatabahasa. Antaranya, mereka memandang remeh aspek ini. Sebabnya mereka tidak ada kesedaran moral akan perlunya menulis entri blog dalam bahasa Melayu yang betul. Yang kedua, mereka sengaja merendah-rendahkan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Mereka buat tidak ambil kisah sahaja.
Memang, weblog biasanya bersifat santai. Maka, mereka pun menulis entri weblog secara santai juga. Lalu soal kebahasaan tidak diambil kira. Barangkali ini disebabkan oleh faktor pengunjung juga. Ada pengunjung yang suka membaca enti weblog yang ditulis secara santai dan bersahaja. Mereka mahu membaca dalam keadaan santai dan tidak perlu memberatkan minda.
Menariknya, weblog ada menyediakan ruangan statistik, pautan ke weblog serta laman web lain dan ruangan sembang-sembang. Di ruangan statistik, kita boleh melihat samada weblog itu kerap dikunjungi atau tidak. Ada penulis weblog yang tulis main-main sahaja (dengan bahasa rojak, tatabahasa tunggang langgang, bahasa rancu). Namun isunya menarik. Maka dengan ini, penulis weblog akan terus dengan keadaan begitu. Mereka semakin rajin untuk mengemaskini weblog masing-masing tiap-tiap hari kerana ada unsur galakan iaitu sambutan pengunjung yang memberansangkan. Dan pencemaran bahasa san sastera terus berulangan.

Kesedaran

Agak sukar juga untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan medium weblog. Ini kerana kerangka weblog biasanya diusahakan oleh pakar-pakar IT daripada luar negara. Caranya tidak lain dan tidak bukan, pihak-pihak tertentu boleh sahaja menyenarai hitakamkan penama-penama mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Pada hemat saya, hanya kesedaran sivik akan pentingnya kita memartabatkan bahasa Melayu sahaja akan memungkinkan perkara ini dapat diatasi. Pemilik-pemilik weblog yang bertanggungjawab juga perlulah membuang pautan (link) rakan-rakan yang tidak menitikberatkan soal bahasa dan sastera supaya weblog itu tidak tersebar.
Tidak dinafikan, ada ramai pemilik weblog yang bertanggungjawab. Yang mementingkan aspek bahasa dan sastera Melayu. Namun, kasihanilah kelompok ini kerana mereka juga menerima tempias yang sama kerana ibarat setitik nila, rosak susu sebelanga. Bagi mereka yang jarang-jarang menjelajah di dunia weblog, katakan pada suatu hari mereka terbaca sebuah entri yang mencemarkan bahasa Melayu, pasti mereka akan menganggap bahawa semua entri adalah sampah. Padahal tidak semuanya begitu.
Weblog kini dianggap sebagai koleksi digital yang tidak dinafikan lagi akan kepentingan dan potensinya. Koleksi digital ini memudahkan lagi pengaksesan maklumat yang lebih global merentasi sempadan. Sepatutnya, weblog harus menjadi medium penyebaran maklumat bahasa, sastera dan budaya melayu dalam talian selain menjadi korpus bahasa dan sastera Melayu. Namun kini, sebaliknya telah terjadi.
Seperti kata Mohd. Dahrie Zakaria, kebanyakan penulis muda sekarang yang mesra siber, akan mendominasi medan sastera perdana pada suatu hari nanti. Mungkin. Dan saya sokong kenyataan ini. Namun, walaupun mereka dapat pergi jauh, bagi saya mereka tidak berguna untuk bangsa kerana mereka ibarat musuh dalam lipatan, dalam diam memusnahkan bahasa Melayu. Kini, jurang digital tidak lagi wujud di kalangan pengamal sastera. Yang wujud adalah jurang nilai itu sendiri.
-------

No comments: