Bismillahirrahmanirrahim.
ANTARA MADU DAN GULA : SIAPAKAH ANDA?
Oleh : Asyraff Hafdzan Abdullah
Madu & Gula
Gula (sukrosa) terhasil daripada gabungan molekul glukosa & molekul fruktosa yang diekstrak daripada pohon tebu secara kebiasaannya. Gula menjadi makanan asasi dalam kehidupan manusia kini, meskipun, kehadirannya di dalam tubuh manusia, hanya menjadi bahan tambahan kepada tenaga (kalori) dan seringkali menjadi punca kepada pelbagai penyakit seperti kerosakan gigi dan diabetis.
Manakala madu pula, mengandungi bahan utama daripada gula fruktosa (41%), glukosa (35%), sukrosa (1.9%) dan dekstrin (1.5%). Kadar protein dalam madu adalah relatif kecil, sekitar 2.6%. Vitamin pula termasuk vitamin B, B2, B3, B6 & vitamin C. Mineral yang terkandung di dalam madu pula antaranya ialah kalium, natrium, kalsium, magnesium, besi, tembaga, fosforus dan sulfur. Bezanya antara gula dan madu adalah, madu lebih berkhasiat dan mempunyai banyak kelebihan hatta menjadi ubat yang hebat untuk manusia sebagaimana firman-Nya :
"Daripada perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkannya." (An-Nahl : 69)
Kita sering mendengar, ungkapan-ungkapan seperti 'habis madu sepah dibuang', 'semut mati di dalam bekas gula', dan 'kurangkan manis dalam minuman, banyakkan manis dalam senyuman' serta lain-lain. Ungkapan-ungkapan seumpama ini, jika diteliti, sebenarnya menyimpulkan satu intipati yang menarik untuk direnungkan dalam kehidupan kita ini.
Nilai Diri
Di Mana Letaknya Nilai Anda?
Saya suka mengambil perumpamaan madu dan gula dikaitkan dengan entiti utama dalam masyarakat iaitu wanita. Madu lebih bernilai daripada gula, madu menyihatkan, sedangkan gula merosakkan. Sebab itu, apabila semut terlalu banyak makan gula, dia akan mati dalam bekas gula. Semut tidak menghurung madu kecuali madu yang tidak asli (campuran gula). Jadi di sini letaknya nilai madu. Wanita sering menjadi objek sasaran semut yang tidak punya nilai spiritual dan intelektual yang tinggi. Cuba kita lihat wanita yang berkecimpung di dalam kerjaya yang menjatuhkan akhlak, betapa banyaknya semut yang menghurung mereka? Wajah yang 'putih' diiklankan. Maruah yang 'manis' diperdagangkan. Akhirnya, semut-semut ini juga turut rosak setelah gula sukrosa wanita terlalu banyak dimamah!
Sedangkan madu pula, walaupun pahit, kata orang-orang yang berumahtangga, namun sebenarnya ia sangat manis. Madu yang baik adalah madu yang asli yang dikumpulkan dan didapatkan dengan begitu susah payah. Terpelihara di dalam sarang lebah, maka cara mendapatkannya melalui jalan-jalan yang sukar, memanjat gunung dan pokok, gua pun ada. Begitulah ibarat wanita solehah yang disukai ramai, tapi tak ramai yang mampu memilikinya.
Persoalannya, adakah anda, wahai wanita (juga lelaki), sebagai gula atau madu?
Lelaki pasangannya wanita. Gula pasangannya semut. Madu pasangannya lebah. Mari kita lihat pula, apa peranan semut. Semut walaupun dari sudut kekuatan fizikalnya mampu mengangkat berat melebihi berat tubuhnya sendiri, tetapi dia tidak mampu untuk makan melebihi hadnya. Sebab itu, semut tidak boleh makan banyak gula, kelak membawa kematian. Semut secara relatifnya mempunyai jumlah yang lebih besar berbanding lebah.
Renungkan Nilai
Perhatikan nilai diri kita. Adakah bertambah selaras peningkatan ilmu di dada dan minda, iman di atma, atau sering merudum dengan pelbagai dugaan melanda? Adakah nilai diri kita layak membawa kita ke syurga? Atau sekadar menjadi semut dunia?
Sudah kolektifkah kerja kita? Sudah maniskah ukhuwah kita? Sudah putihkah amal dan niat kita? Makin positifkah intelektual kita atau kian negatifkah ia kerana terlebih gula?
Nilai Tambah
Sebagai mahasiswa dan mahasiswi Timur Tengah, sudah tentu, kitalah yang menjadi harapan bangsa dan tanahair untuk membangunkan negara dan agama. Mungkin ada di kalangan kita yang merasa terpaksa datang ke bumi padang pasir ini kerana arahan keluarga ataupun keputusan peperiksaan yang tidak mampu memberi harapan untuk ke mana-mana selain ke sini. Sebenarnya, masih belum terlewat untuk memperbaiki diri, belum terlajak untuk muhasabah sekali lagi, apa tujuan, apa matlamat permusafiran ini. Sekiranya niat yang bersih, yang berkualiti, manis bumbunya kerana Allah, maka, selagi kaki berpijak di sini, selagi itulah peluang motivasi kendiri terbuka lagi.
Fikirkan, adakah kehadiran kita di sini sekadar menjadi semut-semut, mengangkut gula ke sana ke mari tetapi tidak mampu memanfaatkan gula untuk diri sendiri dan komuniti? Tidak teringinkah kita, menambah nilai 'terbang'nya kita ke sini, menyedut madu ilmu demi membina sarang ummah yang berkualiti tinggi? Cukupkah nektar hikmah yang dikutip buat bekalan famili, masyarakat dan watani? Atau kita perlu memanjat lebih tinggi, mendaki gunung, merentas samudera demi mendapatkan madu yang kita cari-cari?
1 comment:
syukran Qurrah!!~ saya suka madu!! dan juga peringtan seperti ini.
Post a Comment