Dimulakan dengan

Dimulakan dengan

Saturday, 22 March 2008

SATU HATI MENCARI PETUNJUK YANG SATU
ASSALAMUALAIKUM W.B.T.

Apa khabar semua dan apa khabar iman kita semua? Adakah ia sentiasa meningkat atau sentiasa menurun? Jika iman kita menurun apa tindakan kita untuk meningkatkannya ?Alhamdulillah bersyukur kita kepada Illahi kerana dengan taufik dan hidayahnya dapat lagi merasai nikmat islam dan iman.

Setiap dari kita sentiasa inginkan perubahan dalam hidup.Sudah pasti keinginan itu menjurus kepada kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.Lantaran itu kita perlu berhijrah untuk memenuhi hasrat di samping mencari nilai kesempurnaan hidup yang diredhai Allah.

Begitulah,sedaya mungkin kita mesti keluar dari kepompong suasana kehidupan yang mengurung diri. Andai selama ini kita dibelenggu kegagalan, teruskan berusaha untuk mencapai kejayaan. Sekiranya kita dalam kejahilan, carilah ilmu yang bermanfaat. Begitu jua jika hidup bergelumang dosa,bertaubatlah di samping memperbanyakkan amal soleh.

Peredaran waktu yang terus berkisar, tidak pernah meninggalkan sebarang kesan atau penanda. Tahun demi tahun berlalu,Cuma menjadi garis sempadan penentu tempoh dan jarak waktu. Apa yang pasti usia kita tetap bertambah dan semakin dekat kepada saat kematian di mana kita bakal menghadap Allah untuk diperhitungkan segala amalan.

Lantas dalam kesempatan menikmati hidup di dunia ini, kewajipan paling utama bagi kita adalah menyediakan bekalan untuk akhirat. Firman Allah yang bermaksud
:Berbekallah dan sesunggahnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertawakallah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.(al Baqarah:179)

Keutamaan hidup di dunia bukan sekadar melengkapi keperluan sebaliknya untuk berbakti dan beribadat kepada Allah. Tiada gunanya harta kekayaan, pangkat, pengaruh dan kuasa seandainay dipergunakan untuk bertindak zalim sesama manusia dan meruntuhkan agama. Firman allah yang bermaksud: dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nyadan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya maka mereka itulah yang pasti mendapat kemenangan. (an-Nur : 52)

Kita sesungguhnya tidak pasti bila berakhirnya usia kita atau bagaimana kesudahannya hidup kita ini. Namun kita masih punya waktu untuk memperbaiki diri, menghindari penyakit-penyakit hati dan sama-samalah kita berhijrah mencari keredhaan Allah. Semoga Allah merahmati kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Salam Hijratullah!

No comments: